Tuesday, October 6, 2009

Hari Perdamaian Pas-DAP



MUKADIMAH - Pas dan DAP - dua rakan sekutu dalam politik Malaysia yang sedang berkrisis di Selangor pada saat ini telah mencapai kata sepakat untuk duduk semeja hari ini bagi menyelesaikan dan mengungkai segala perbezaan yang tercetus di antara mereka.

Perbincangan meja bulat ini adalah yang julung-julung kalinya diadakan sejak Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali bertelagah secara terbuka dengan pemimpin DAP dan juga PKR sejak tiga bulan yang lalu.

Usaha itu dilihat sebagai langkah terbaru bagi menjernihkan hubungan ‘keruh’ antara pemimpin DAP dan Pas khususnya di Negeri Selangor, yang jelas kelihatan tidak harmoni dengan masing-masing saling bercanggah pendapat mengenai pelbagai isu termasuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengecam dan mengkritik di antara satu sama lain.

:Sepanjang tiga bulan lalu pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat khususnya Pas dan DAP secara terbuka berhadapan dengan krisis pertembungan pendirian khususnya dalam isu larangan jualan minuman keras di Shah Alan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat).:

Percanggahan ideologi

Hari Perdamaian Pas dan DAP pada hari ini membuktikan bahawa kedua parti ini sebenarnya berhadapan dengan pelbagai masalah dalaman yang belum dapat dirungkai.

Penganalisis politik, Datuk Zainal Kling berkata, kedua parti tersebut menghadapi masalah percanggahan ideologi yang berbeza iaitu Pas yang membawa dasar Islam manakala DAP dengan prinsip sosialis.

Beliau berkata, masing-masing mempunyai perbezaan tanggapan mengenai cara bagaimana untuk melaksanakan pemerintahan kerajaan sendiri.

“DAP dan Pas mempunyai cita-cita politik dan ekonomi yang tersendiri. Walaupun Pas hari ini tidak lagi bercakap tentang Islam, tetapi ia jelas menunjukkan cita-cita asal Pas

“Pas juga kini berada dalam keadaan bertolak ansur dengan segala tuntutan DAP. Sebagai contoh jualan arak, walaupun Pas mahu mengharamkan dan menghentikannya tetapi akur dengan DAP yang hanya membiarkan sahaja. Begitu juga dengan layanan terhadap pegawai kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, selama ini mereka dilihat menyembunyikan masalah yang mereka hadapi.

Sebenarnya mereka tidak pernah menyelesaikan masalah asasi sepanjang bersatu dalam Pakatan Rakyat, katanya.

Beliau berkata, dengan adanya rundingan hari ini jelas menunjukkan kedua-dua parti ini bermasalah, tidak sehaluan dan renggang apabila masing-masing mempunyai kaedah untuk memerintah negara dengan cara berbeza.

Apa kata UMNO

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berpendapat Hari Pendamaian Pas-DAP ini hanya sekadar untuk mengaburi mata rakyat bahawa kedua-dua parti ini tidak mempunyai sebarang permasalahan. Menurut Abdul Shukor, persidangan meja bulat ini tidak akan menyelesaikan ‘pertelagahan dalaman’ yang berlaku antara parti yang baru ‘dikahwinkan’ selepas pilihan raya lalu.

“Semua yang dilakukan oleh Pas dan DAP itu hanyalah untuk mengaburi mata rakyat terhadap apa yang berlaku dalam parti berkenaan. Malah apa yang dilakukan itu hanyalah bagi memenuhi propaganda dan agenda politik masing-masing.

“Masalah dalaman yang meruncing dalam kedua-dua parti tidak dapat diselesaikan dengan hanya menganjurkan rundingan meja bulat ini,” katanya.

Abdul Shukor berkata, realiti hari ini menunjukkan bahawa apa yang dilakukan oleh Pas tidak disenangi oleh ‘pasangannya’ (DAP) dan begitu juga sebaliknya.

“Mereka ini sebenarnya pandai memainkan ‘watak’ masing-masing dalam ‘drama’ yang direka oleh Parti keadilan Rakyat (PKR). Jika ditanya mengenai perhubungan mereka, sudah pasti mereka memberitahu yang mereka baik dan saling bekerjasama kerana enggan mengakui kelemahan masing-masing.

“Persidangan meja bulat ini hanyalah gimik bahawa mereka bersatu dan sekata dalam apa juga keadaan, sedangkan realiti sebenarnya sebaliknya,” katanya.

Tambah beliau, walaupun UMNO pernah ‘berselisih faham’ dengan parti komponen di bawahnya, namun mereka menyelesaikannya dengan cara berhemah.

:“Kita mempunyai 14 parti komponen dan kita tidak pernah mengadakan rundingan meja bulat secara tertutup dalam menyelesaikan apa-apa pertikaian yang berlaku dalam parti.

“Yang pasti, rundingan ini tidak akan dapat membawa pa-apa pembaharuan pada kedua-dua parti itu,” katanya.

Reaksi Pas

Dalam pada itu, Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Khairuddin Othman berkata, rundingan ini bertujuan untuk membuktikan bahawa tanggapan wujudnya krisis kepercayaan PR terutamanya Pas-DAP lebih-lebih lagi selepas tercetusnya pengharaman arak tidak benar.

“Kalau ada masalah seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak kita tidak akan duduk sekali. Memang dasar kita berbeza tetapi apa yang pasti perbincangan itu lebih menumpukan kepada pembangunan di negeri ini.

“Apa yang pasti, kita tidak akan menggadaikan dasar yang kita perjuangkan selama ini,” katanya.

Menurutnya, rundingan ini akan melibatkan lebih kurang 20 wakil dari kedua-dua parti berkenaan.

“Kita berharap melaluinya kita dapat memahami perjuangan dan hala tuju parti masing-masing untuk mendapatkan kata sepakat. Banyak kontroversi yang berlaku sejak akhir-akhir ini dan kita harap ia akan diselesaikan secara berhemah,” katanya.

15 barangan terkawal Deepavali


PORT DICKSON 6 Okt. - Sebanyak 15 jenis barangan akan dijadikan bahan kawalan sepanjang musim perayaan Deepavali berkuat kuasa mulai 12 hingga 21 Oktober ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut selari dengan gagasan 1Malaysia yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memastikan bukan sahaja pengguna beragama Islam dilindungi ketika Hari Raya, malah terhadap penganut Hindu sepanjang Deepavali.

Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan penetapan harga siling borong dan runcit bagi kesemua 15 barang kawalan itu.

''Antara barangan yang dikawal ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang dan daging kambing biri-biri import tanpa tulang.

''Ini termasuk, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, cili merah, tomato, bawang merah kecil (India), kelapa biji, kelapa parut dan ubi kentang import,'' kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan Penetapan Harga Maksimum Borong dan Runcit Harga Terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2009 di Balairaya Teluk Kemang Batu 7, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, peniaga di seluruh negara yang terlibat dengan penjualan barangan terkawal itu dikehendaki memiliki lesen khas.

''Semua peniaga yang terlibat perlu memohon lesen khas yang diberikan secara percuma di semua Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) yang akan dibuka di pasar-pasar utama berhampiran.

''Setakat ini, sebanyak 32,189 lesen telah dikeluarkan di seluruh negara,'' ujar beliau.

Tambah beliau, peniaga juga diminta mempamerkan lesen dan tanda harga khas yang disediakan selain tidak menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang ingkar dengan pematuhan yang ditetapkan di bawah skim tersebut.

''Jika didapati ada peniaga yang melanggar peraturan itu, Mereka boleh dihadapkan ke mahkamah dan boleh dikenakan tindakan denda sebanyak RM15,000 atau dua tahun penjara yang termaktub di bawah Akta Kawalan Harga 1946.

''Kesalahan ini juga boleh dikompaun sehingga mencapai RM7,500 bagi orang perseorangan, manakala RM25,000 bagi pertubuhan atau syarikat,'' jelas Ismail.

Di samping itu, beliau turut memberitahu, pihak pengguna juga boleh membuat aduan sekiranya ada peniaga yang tidak mematuhi pematuhan tersebut.

''Orang ramai boleh menyalurkan aduan mereka melalui e-mel e-aduan@kpdnkk.gov.my atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 32255 selain menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800,'' ujar beliau.